TAN Cheng Hoe 9kiri) melihat anak buah menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Myanmar. - Foto HAZREEN MOHAMAD
'Ubah sejarah pahit Piala AFF 2016'
KUALA LUMPUR: Jurulatih negara Tan Cheng Hoe mahu mengelakkan sejarah pahit tersingkir awal pada Piala AFF 2016 dengan menundukkan Myanmar pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Malaysia yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee ketika itu ditunjuk jalan keluar oleh tuan rumah, Myanmar pada edisi dua tahun lalu selepas tewas 0-1 pada aksi terakhir kumpulan di Yangon.
Justeru, perlawanan menentang Myanmar di gelanggang sendiri Sabtu ini pasti peluang terbaik buat Harimau Malaya membalas dendam terhadap lawannya itu.
Bagi Cheng Hoe, beliau mengakui anak buahnya perlu tampil dengan aksi lebih baik untuk berdepan Myanmar dan tidak mengulangi kesilapan mudah ketika tewas 0-2 kepada Vietnam di Hanoi, Jumaat lalu.
“Kami kena kekalkan corak permainan dan mungkin kena ubah sikit. Kami perlu elak dibolosi gol dan pada masa sama pemain mengubah mentaliti daripada bermain secara bertahan kepada menyerang.
“Jentera serangan mesti lebih tenang dalam melakukan penyudah dan apa yang penting dalam masa tidak sampai seminggu ini kami akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan ke atas Myanmar.
“Memang 2016 edisi berlainan dengan suasana pemain juga sudah berbeza. Kali ini kami perlu gunakan kesempatan bermain di laman sendiri,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di padang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai hari ini.
Harimau Malaya yang menang ke atas Kemboja dan Laos sebelum ini berkongsi enam mata bersama pendahulu Kumpulan A, Myanmar dan Vietnam.
Anak buah Cheng Hoe juga perlu mengharapkan Myanmar tewas atau sekurang-kurangnya seri berdepan Vietnam esok bagi membuka peluang lebih cerah untuk mara ke separuh akhir.
Selain itu, Cheng Hoe turut menuntut pemainnya supaya bijak mengawal tekanan khususnya apabila beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri yang dijangka membanjiri Stadium Nasional.
“Selepas tiga perlawanan, saya amat berpuas hati dengan permainan kami dan sebagai jurulatih saya tidak boleh jelaskan dengan lebih mendalam mengenai taktikal.
“Pemain cukup bermotivasi bila bermain di Bukit Jalil, ia akan menjadi pemangkin semangat buat mereka. Tapi saya tidak mahu pemain berasa tertekan dengan kehadiran penyokong yang ramai,” katanya.
- bharian.com.my
0 comments:
Catat Ulasan