Buletin Sabah FA...Info dan Keputusan terkini perlawanan bola sepak Sabah

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

Isnin, 19 November 2018

Vingada percaya 'ramuan' Cheng Hoe


TAN Cheng Hoe

Vingada percaya 'ramuan' Cheng Hoe



KUALA LUMPUR: Bekas pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada percaya Tan Cheng Hoe mempunyai ‘ramuan’ tersendiri untuk memacu Harimau Malaya menjayakan misi wajib menang ke atas Myanmar, Sabtu ini.



Perlawanan terakhir Kumpulan A Piala AFF di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu akan menjadi penentu buat anak buah Cheng Hoe sama ada mara ke separuh akhir atau sebaliknya.



Vingada menjelaskan pengalaman dan pengetahuan luas dimiliki Cheng Hoe menjadi kekuatan utama bekas pembantunya itu dalam memberi impak besar buat Harimau Malaya menjinakkan Myanmar.




Jurulatih dari Portugal itu bagaimanapun berkata, aksi Myanmar dan Vietnam di Stadium Thuwunna, Yangon esok juga akan mempengaruhi peluang Harimau Malaya untuk melepasi peringkat kumpulan.



“Walaupun tewas (kepada Vietnam), Malaysia masih mempunyai peluang untuk mara ke peringkat seterusnya. Tapi, ia turut bergantung kepada keputusan pertemuan Myanmar dan Vietnam.



“Sudah pasti saya yakin dengan kemampuan Tan (Cheng Hoe). Beliau sangat profesional, malah lebih mengenali pemain Malaysia.



“Malaysia sentiasa berada di hati saya, Tan juga kawan yang amat baik. Saya ucapkan selamat berjaya kepada beliau dan pasukan,” katanya yang pernah membimbing Harimau Malaya dari Mei hingga Disember tahun lalu.



Kemenangan ke atas Kemboja dan Laos sebelum ini menyaksikan Harimau Malaya kini berkongsi enam mata bersama Myanmar dan Vietnam yang menghuni kelompok teratas kumpulan.



Anak didik Cheng Hoe berharap Myanmar tewas di tangan Vietnam atau aksi kedua-dua pasukan itu berkesudahan seri bagi memastikan peluang lebih cerah buat Harimau Malaya.



Vingada melepaskan jawatan sebagai pengendali Harimau Malaya pada Disember lalu apabila gagal meraih sebarang kemenangan selepas hampir tujuh bulan bertugas.



FAM seterusnya menaikkan pangkat Cheng Hoe untuk mengemudi Harimau Malaya yang sebelum itu bertindak sebagai pembantu kepada Vingada.



Ketika ditanya mengenai perkembangan kariernya sebagai jurulatih, Vingada yang digelar sebagai ‘The Professor’ menjelaskan masih belum menyertai mana-mana pasukan.



“Ketika ini saya banyak merantau sekitar Eropah untuk melihat dan mengikuti bola sepak di negara berbeza. Saya harap dapat kembali ke arena bola sepak tahun depan,” katanya.
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

FANPAGE FB

FANPAGE FB

Arkib Blog