JURULATIH FELDA United, Mohd Nidzam Jamil (kanan) tidak dapat mengesahkan status pemain import yang bakal memperkuatkan kelab itu. - Foto MOHD YUSNI ARIFFIN
The Fighters belum 'jumpa' pemain import
KUANTAN: Pengendali FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil tidak dapat mengesahkan status pemain import yang bakal memperkuatkan kelab itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2019.
Mohd Nidzam yang juga bekas pemain kebangsaan berkata, beliau bersama pengurusan The Fighters masih lagi dalam perbincangan berhubung pemilihan pemain import.
"Setakat ini, belum ada apa-apa keputusan mengenai pemain import selepas kelab tidak melanjutkan kontrak empat pemain import yang beraksi bersama FELDA United musim ini.
"Keputusan untuk mendapatkan pemain import di bahagian serangan, tengah dan pertahanan akan diketahui selepas sesi perbincangan," katanya.
Musim ini, The Fighters diperkuatkan empat import iaitu Gilberto Fortunato, Thiago Agusto, Thiago Aquino dan Iain Ramsay.
Namun, FELDA United membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak mereka walaupun berjaya membantu kelab itu muncul juara Liga Perdana.
Pada masa sama, sebahagian besar pemain FELDA United akan dibarisi pemain muda.
Ditanya persediaan kelab itu mengharungi Liga M musim hadapan, Mohd Nidzam berkata, The Fighters akan memulakan sesi latihan bermula awal bulan depan. "Setakat ini, hampir 70 peratus senarai pemain tempatan sudah selesai dan bakinya dijangka dimuktamadkan hujung bulan ini.
"Saya harap semua pemain dapat memberi persembahan terbaik untuk mendapat keputusan membanggakan musim depan," katanya.
- bharian.com.my
0 comments:
Catat Ulasan