JAMES Selvaraj
Jin Wei perlu ubah minda, ganda latihan
KUALA LUMPUR: Goh Jin Wei perlu mengubah pemikirannya dan menggandakan program latihan jika mahu bergelar pemain badminton berkelas dunia.
Pandangan itu disuarakan oleh bekas Pengarah Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj, susulan kejayaan pemain berusia 18 tahun itu merangkul gelaran dunia kedua di Kejohanan Dunia Remaja, Ahad lalu.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu menewaskan pemain Denmark, Line Christophersen 21-13, 21-11 di pentas final dalam acara perseorangan wanita di Markham, Kanada sekali gus mengulangi pencapaian yang diraihnya tiga tahun lalu di Lima, Peru.
Selepas Malaysia sering merangkul beberapa kejayaan bertaraf dunia dan Asia di peringkat remaja sebelum ini, James percaya segala-galanya ketika ini bergantung kepada pemikiran pemain terutama apabila peralihan ke peringkat senior.
“Segala-galanya kini bergantung di tangan Jin Wei. Dia perlu berfikir sebaik-baiknya mengenai di mana dia mahu berada selepas ini. Dia perlu melupakan yang dia adalah juara remaja dunia dan bergerak ke depan.
“Dia perlu menggandakan program latihannya dan bekerja lebih keras kerana jurang di antara tahap junior dan senior terlalu besar. Jurulatihnya perlu mengetahui apakah kekuatannya dan kelemahannya dan menyediakan program latihan baharu untuknya.
“Dia perlu bermain dengan bersungguh-sungguh, memperbaiki kualiti pukulannya dan kepantasannya di atas gelanggang. Lihat kepada pemain Taiwan Tai Tzu Ying dan pemain Sepanyol Carolina Marin. Kerja keras mereka di atas gelanggang amat menakjubkan,” kata James.
James juga menambah Jin Wei perlu cuba untuk mengikuti langkah pemain Jepun, Nozomi Okuhara dan Akane Yamaguchi yang kedua-duanya sebelum ini pernah meraih gelaran juara remaja dunia.
“Jika kamu ingat, kedua-duanya Okuhara dan Yamaguchi secara fizikal agak besar, tetapi mereka kini cukup cemerlang dan mempunyai skil yang tinggi, dan berlari di seluruh gelanggang tanpa had. Jin Wei perlu mengikutinya.
“Jurulatih juga perlu mencadangkan kepada Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan untuk mula memberi pendedahan kepada pemain remaja ini ke kejohanan lebih besar.
“Secara peribadi, saya fikir ia satu pembaziran masa jika kamu hanya mahu mengumpul mata dengan menjadi juara di kejohanan bertahap rendah. Berikan mereka peluang beraksi di kejohanan besar. Jika ada 12 kejohanan Siri Super, pastikan mereka bermain sekurang-kurangnya tujuh kejohanan setahun.
“Kita juga memerlukan pakar psikologi yang betul untuk bersama pemain ini. Tidak apa jika tewas pada pusingan pertama dan kedua bagi permulaan, tetapi pakar psikologi ini perlu membimbing mereka untuk menjadi lebih baik. Begitulah cara kamu melahirkan juara,” kata James.
Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Ng Chin Chai, mengesahkan keseluruhan pemain negara dalam skuad remaja dunia termasuk pemain pemain profesional, Aidil Sholeh Ali Sadikin akan diserap ke skuad senior.
“Selain Jin Wei dan beregu wanita (Pearly Tan-Toh Ee Wei), keseluruhan skuad akan diserapkan ke pasukan senior dalam tempoh percubaan selama tiga bulan. Kami akan menilai mereka dan melihat sejauh mana mereka boleh pergi.
“Kami juga gembira untuk mengumumkan yang Aidil akan menyertai kami pada minggu depan.”
- bharian.com.my
0 comments:
Catat Ulasan