Buletin Sabah FA...Info dan Keputusan terkini perlawanan bola sepak Sabah

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

Selasa, 20 November 2018

Hukumlah, tetapi jangan abaikan gaji kami


SHAFUAN Adli (kanan).

Hukumlah, tetapi jangan abaikan gaji kami




KUALA TERENGGANU: Bekas jurulatih dan pemain Terengganu City FC (TCFC), menyifatkan langkah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyingkirkan pasukan itu daripada Liga Perdana adalah tepat bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa penganiayaan.



Bagaimanapun, mereka tetap melahirkan kebimbangan mungkin tunggakan gaji mereka akan turut terkubur, sama seperti nasib TCFC yang kini sah tidak layak bertanding di Liga Malaysia (Liga M) musim 2019.



Berikutan itu, bekas tonggak skuad The Sharks itu, Shafuan Adli Shaari memohon tunggakan gaji pemain dapat diselesaikan segera sebelum kelab yang berpangkalan di Kuala Terengganu itu menutup operasinya.




"Secara jujurnya saya begitu sedih dengan berita pengguguran skuad ini selepas kami berjuang habis-habisan, sejak awal saingan hingga muncul juara Piala FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).



"Bagi saya, MFL membuat keputusan betul, walaupun kami mahukan skuad ini beraksi di Liga Perdana, tetapi kami merayu kepada FAM supaya dapat membantu menyelesaikan masalah gaji dan tidak membiarkan kami menderita.



"FAM harus bayar dulu kepada kami wang hasil kemenangan piala FAM itu kerana kami amat memerlukan kewangan selepas empat bulan tanpa bergaji.



"Kerajaan negeri juga mesti mengambil tindakan sewajarnya kepada penaja TCFC dan membantu kami kerana pasukan ini sudah mengharumkan nama negeri," kata Shafuan.



Pandangan sama disuarakan jurulatih, Mohd Noor Md Derus yang menyatakan keputusan MFL itu sudah dijangka berikutan masalah tunggakan gaji pemain dan jurulatih skuad itu yang berlarutan hingga lima bulan.



"Harapan kami ialah FAM dan kerajaan negeri dapat membantu kerana kami ada keluarga, nak bayar macam-macam. Mereka harus mengambil tindakan kepada penaja skuad itu kerana jelas mencalar imej Terengganu,” kata Mohd Noor.



Rabu lalu, barisan jurulatih skuad itu menghantar surat rasmi kepada FAM menuntut tunggakan gaji daripada TCFC sebanyak RM469,500 manakala RM304,500 lagi dituntut 10 bekas pemain skuad itu.



-bharian.com.my
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

FANPAGE FB

FANPAGE FB

Arkib Blog