PEMAIN Sepanyol, Alvaro Morata (kiri) bersaing dengan pemain Bosnia & Herzegovina, Ermin Bicakcic dalam aksi persahabatan awal pagi tadi. - Foto Reuters
Sepanyol hilang selera layan Bosnia
LAS PALMAS: Sepanyol kembali menemui rentak kemenangan selepas dua kekalahan apabila mengatasi Bosnia & Herzegovina 1-0, dalam aksi persahabatan awal pagi tadi.
Kemenangan penyuntik semangat itu diperoleh hasil jaringan pemain tengah, Brais Mendez yang dibawa masuk dari bangku simpanan ketika dia tampil kali pertama untuk pasukan kebangsaan.
Beberapa jam sebelum perlawanan, Sepanyol menyedari mereka sah gagal layak ke separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah, berikutan kejayaan England menewaskan Croatia 2-1, di London.
BRAIS Mendez yang dibawa masuk dari bangku simpanan ketika dia tampil kali pertama untuk pasukan kebangsaan. - Foto Reuters
Mereka tampak sedikit terganggu dengan berita berkenaan dan gagal beraksi pada tahap sebenar, sebelum Mendez menyambung hantaran jarak dekat untuk menyempurnakan jaringan tunggal perlawanan.
Selepas tewas 2-3 kepada Croatia pada Khamis lalu, dan tunduk kepada England dengan jaringan sama pada Oktober lalu, jurulatih Sepanyol, Luis Enrique menggunakan kesempatan itu bagi menilai kemampuan barisan kedua.
Penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga menggantikan David de Gea yang banyak dikritik dan pertahanan Espanyol, Mario Hermoso membuat kemunculan pertama.
PENJAGA gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga (kanan) menggantikan David de Gea yang banyak dikritik. - Foto EPA
PEMAIN Sepanyol, Isco berebut bola dengan pemain Bosnia & Herzegovina, Muhamed Besic dalam aksi perlawanan di Gran Canaria. - Foto Reuters
Manakala Isco memakai lilitan kapten pada penampilan ke-35 bersama Sepanyol.
Dalam pertembungan itu, Sepanyol mendominasi permainan, tetapi bergelut untuk mencipta peluang menjaringkan gol.
Isco dan Marco Asensio mempunyai peluang terbaik pada babak pertama menerusi sepakan jarak jauh, namun percubaan mereka langsung tidak mengancam penjaga gol Bosnia, Ibrahim Sehic.
Alvaro Morata juga terlepas peluang untuk memecah kebuntuan pada awal babak kedua apabila Sehic menepis cubaan Asensio dan bola sampai ke kakinya, namun penyerang Chelsea itu gagal menyepak dengan kemas.
Gol yang dicari akhirnya menjadi milik Sepanyol - sekali lagi hasil bola muntah apabila Sehic gagal menampan kemas sepakan Isco dan peluang itu bijak disempurnakan pemain berusia 21 tahun, Mendez untuk meledak gol. - Reuters
0 comments:
Catat Ulasan