Buletin Sabah FA...Info dan Keputusan terkini perlawanan bola sepak Sabah

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

SKUAD SABAH FA MUSIM 2019

Ahad, 25 November 2018

Sathianathan tagih bisa Rufino


Rufino Segovia. - Foto Owee Ah Chun

Sathianathan tagih bisa Rufino



KUALA LUMPUR: B Sathianathan tidak bersedia untuk melepaskan pemenang anugerah penjaring gol terbanyak Liga Super musim ini, Rufino Segovia apabila mengakui penyerang handalan berusia 33 tahun itu masih berada dalam perancangannya bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.



Beliau yang baharu saja dilantik secara rasmi selaku ketua jurulatih Selangor pada Jumaat lalu berkata, Rufino memiliki pakej lengkap sebagai seorang pemain import yang bukan saja berbisa di dalam kotak penalti, malah pemain kelahiran Sepanyol itu juga rajin membantu pertahanan apabila diasak jentera serangan lawan.



Katanya, pihak pengurusan masih melakukan perbincangan dengan Rufino dan berharap bekas tonggak Atletico Madrid itu kekal bersama skuad The Red Giants.




"Apa yang dimaklumkan kepada saya oleh pihak pengurusan atasan, mereka masih lagi berunding dengan Rufino dan saya amat berharap supaya dia kekal untuk bersama Selangor lagi," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.



"Bagi saya secara peribadi, kehadiran Rufino dalam pasukan seperti bonus kerana pemain itu boleh bermain bukan saja sebagai penyerang malah boleh juga bertahan.



"Dia juga rajin untuk turun ke bawah membantu barisan tengah dan pertahanan selain kemampuan dirinya bijak membuat hantaran tepat kepada rakan sepasukan lain ketika menyerang.



"Jadi saya melihat dia adalah aset berharga buat Selangor dan kalau kita lepaskannya ia suatu kerugian besar kerana tidak semua penyerang import mampu melakukan dua atau tiga kerja dalam permainan," kata bekas pengendali FELDA United, Kelantan, ATM dan Harimau Malaya itu.



Masa depan Rufino mula menjadi tanda tanya selepas skuad Merah Kuning ditunjukkan 'jalan keluar' seawal peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia musim ini.



Untuk rekod, dia berjaya meledak 19 gol dalam Liga Super selain turut mencetak sembilan gol di saingan Piala FA di mana dia membantu Selangor mara ke perlawanan akhir dan dua gol lagi di Piala Malaysia musim ini.



"Dia sudah buktikan betapa dia antara penyerang terbaik liga kita apabila memenangi dua anugerah iaitu penjaring terbanyak dan pemain import terbaik. Sudah pasti ia sebab utama mengapa pasukan perlu mengekalkan pemain itu," katanya.



Sementara itu, Sathianathan turut menjelaskan bakal memulakan latihan pertama bersama pasukan pada 3 Disember ini sebagai persiapan awal untuk menghadapi saingan musim baharu.


- bharian
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

FANPAGE FB

FANPAGE FB

Arkib Blog