Harimau Malaya mara bergaya ke separuh akhir Piala AFF
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) – Skuad Harimau Malaya melangkah penuh bergaya ke separuh akhir Kejuaraan Piala AFF Suzuki 2018 selepas menewaskan Myanmar 3-0 pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Turun dengan hanya satu misi – mengutip tiga mata penuh – barisan anak buah Tan Cheng Hoe menampilkan aksi penuh semangat di tambah pula dengan kehadiran penyokong berbaju serba hitam kuning yang memenuhi segenap ruang dalam stadium berkapasiti 87,000 penonton itu.
Stadium keramat itu bergema pada minit ke-26 selepas gerakan dimulakan Muhammad Syahmi Safari yang melakukan hantaran lintang ke dalam kotak penalti berjaya disambut Mohamadou Sumareh yang melakukan tampanan menggegarkan palang pasukan pelawat, sebelum tindakan susulan Norshahrul Idlan Talaha berjaya menyumbat gol pertama negara.
Seminit sebelum separuh masa pertama berakhir, skuad negara dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan ‘The Angle White’ menjatuhkan Muhammad Safawi Rasid dalam kotak penalti dan kapten negara, Mohd Zaquan Adha Abd Radzak tenang menyempurnakan sepakan itu untuk meletakkan Malaysia mendahului 2-0.
Bersambung babak kedua, Myanmar yang dibimbing Antoine John Paul Hey bangkit menerusi gerakan balas dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu pasukan negara, namun penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias cemerlang mengawal gawangnya daripada dibolosi.
Di saat pasukan pelawat berusaha memburu gol pertama, melalui satu serangan balas dimulakan Muhammad Akhyar Abdul Rashid, pertahanan Myanmar melakukan kesilapan apabila bola yang cuba dikeluarkan terkena Mohd Zaquan dan terus menerjah jaring pada minit ke-88 untuk jaringan ketiga skuad negara dan memadamkan saki-baki perjuangan pasukan pelawat.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia muncul naib juara Kumpulan A setelah mengumpul sembilan mata dan hampir pasti akan bertemu Thailand yang dilihat tidak mempunyai masalah mencatat kemenangan pada perlawanan terakhir mereka menentang Singapura, esok, sekali gus muncul juara Kumpulan B,
Sementara itu, Vietnam mengungguli Kumpulan A dengan kutipan 10 mata setelah melakar kemenangan 3-0 ke atas Kemboja pada perlawanan yang berlangsung serentak hari ini, dan dijangka bertemu naib juara Kumpulan B, sama ada Singapura atau Filipina.
Lebih manis, kejayaan menewaskan Myanmar itu juga menamatkan kemarau kemenangan ke atas Myanmar dalam empat pertemuan terakhir, sebelum ini.
Kali terakhir Malaysia menewaskan Myanmar adalah pada 2011 apabila mencatat kemenangan 2-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa.
-- BERNAMA
0 comments:
Catat Ulasan